Jurang antara tahap literasi Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di sekolah-sekolah luar bandar dan di bandar semakin kecil dari tahun ke tahun.

Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, kerajaan komited untuk terus merapatkan jurang berkenaan selain meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

"Prestasi kini menunjukkan tahap literasi Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di sekolah luar bandar pada 83.3 peratus manakala pelajar di bandar mencatatkan tahap literasi pada 89.9 peratus," kata Sin Woon.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan dari Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) yang ingin mengetahui prestasi semasa literasi Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah luar bandar dan apa yang dilakukan kerajaan untuk mengurangkan jurang penguasaan subjek tersebut di bandar dan di luar bandar.

Selain itu, Sin Woon turut mengakui kekurangan guru Bahasa Inggeris serta kualiti pengajaran juga mempengaruhi tahap literasi Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di luar bandar.

"Oleh itu, Kementerian Pendidikan akan terus melatih guru-guru Bahasa Inggeris sedia ada serta memastikan bilangan guru subjek tersebut yang mencukupi di setiap sekolah, terutamanya di luar bandar," kata Sin Woon.