Kerajaan Negeri Sabah akan mengusulkan kepada kerajaan pusat supaya beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di daerah ini dapat dimiliki melalui proses sewa beli.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, isu tersebut lantang disuarakan penduduk di beberapa PPR di sini lantaran tidak mahu menjadi penyewa sepanjang umur hidup mereka.

“Perkara ini kita kena utarakan kepada Kerajaan Persekutuan kerana mereka mempunyai dasar berkenaan isu perumahan. Sebaik mungkin, kalau dapat diperoleh (rumah) menerusi sewa beli kerana perkara ini sudah pun agak lantang disuarakan oleh masyarakat di kawasan ini.

“Ini untuk membolehkan supaya rumah didiami mereka dapat disewa dan dibeli kerana mereka tidak mahu menjadi penyewa seumur hidup sampai ke anak cucu mereka.

“Kita (Sabah) mempunyai tanah yang banyak dan bukan macam di Kuala Lumpur, tidak banyak tanah. Jadi kalau mereka bina untuk sewa beli dan sewa itu dikira sebagai pelaburan mereka untuk pembelian di masa akan datang,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Jelasnya, walaupun proses sewa beli itu mungkin akan mengambil masa yang panjang iaitu antara 30 hingga 50 tahun, namun langkah tersebut akan diusahakan oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi Kerajaan Persekutuan mempertimbangkannya sebaik mungkin.

Ditanya berkenaan tindakan sesetengah penyewa yang menyewakan unit kediaman PPR mereka kepada pendatang asing, Mohd Shafie berkata, isu tersebut sedang ditangani sebaiknya oleh pihak berkuasa.

“Kita akan lihat dan cuba atasi sebab ini masalah (dari kerajaan) dahulu. Sebenarnya, berlaku masalah-masalah ini adalah disebabkan PBS (Parti Bersatu Sabah) juga. Kita hanya kerajaan baharu dan ini kita ingin atasi.

“Jadi kalau kita sokong calon yang baharu (Vivian Wong - DAP), kita yakin akan cuba atasi permasalahan yang ada. Kalau kita dapati bahawa mereka (penyewa asal) sewa kepada orang asing, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Mengikut rekod, terdapat sembilan PPR di daerah tersebut di mana secara spesifik terdapat dua PPR di dalam Parlimen Sandakan iaitu Taman Mesra dan PPR Taman Muhibbah.