Polis Johor menahan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes dua lelaki cedera ditembak pada jarak dekat di sebuah kedai kopi di pekan Bukit Gambir, Tangkak, Johor, Jumaat (20 Okt) lalu, di sini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata lima suspek lelaki yang berusia antara 30-an dan 40-an itu ditahan pada Sabtu dan hasil soal siasat mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada isu berkaitan dadah.

"Hingga kini pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut dan terperinci.

"Keadaan dua mangsa yang cedera juga kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan kita percaya akan mendapat lebih banyak maklumat tambahan selepas menjalankan soal siasat terhadap kedua-dua mangsa," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata semua suspek kini masih direman hingga 27 Okt ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi Jumaat lalu, dua lelaki berusia lingkungan 30-an yang sedang minum pagi bersama beberapa rakan lain di kedai itu didatangi suspek sebelum ditembak menggunakan pistol semi-automatik.

Suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh itu melepaskan tujuh das tembakan ke arah kumpulan mangsa dan melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dalam pada itu, Mohd Khalil turut memaklumkan arahan pertukaran baharu dikeluarkan oleh Bukit Aman terhadap pegawai dan anggota yang terbabit dengan penularan klip video mendakwa mereka sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Muar, Johor.

BACA: Rakaman video tujuh anggota polis berhibur di kelab hiburan disiasat

Beliau berkata, arahan itu dilaksanakan serta-merta dan membabitkan semua tujuh pegawai dan anggota yang terbabit termasuk seorang koperal yang turut dilucutkan daripada jawatan detektif.

"Siasatan tatatertib sudah dijalankan dan dirumuskan selain tindakan lain yang akan diambil dalam masa terdekat. Mereka kini sudah diarahkan untuk bertukar ke lokasi dan formasi lain di seluruh negara oleh Bukit Aman," kata Mohd Khalil.

Beliau berkata pihaknya dan Bukit Aman memandang serius isu berkaitan integriti setiap pegawai dan anggota yang juga aset bernilai dalam mentadbir urus peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, tujuh anggota termasuk seorang pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dipindahkan ke IPK Johor serta-merta selepas tular video klip video berdurasi sembilan saat yang memaparkan sekumpulan lelaki berada di sebuah meja, dipercayai di dalam pusat hiburan pada 8 Okt lalu.

-- BERNAMA