Kerajaan negeri komited dalam melaksanakan kerjasama erat dengan ketua-ketua kampung di sekitar Perak untuk membendung gejala penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadi berkata pihaknya sentiasa dalam usaha memantapkan hubungan dua hala bersama pemimpin di peringkat kampung untuk mencegah kes-kes penyalahgunaan dadah secara lebih holistik.

"Kita hendak pastikan agar arahan yang diberikan kepada pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung dapat dilaksanakan untuk mengatasi hal ini.

"Kerajaan negeri juga akan memberikan maklum balas tentang perkembangan terkini mengenai beberapa perkara yang dibincangkan khususnya yang berkaitan dengan perkara yang kita arahkan mereka lakukan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Khas YAB Menteri Besar Perak Bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Perak di Kinta Riverfront Hotel & Suites Ipoh pada petang Rabu.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin dengan pendekatan telus di peringkat akar umbi setiap ketua kampung akan dapat melaksanakan tanggungjawab untuk mengatasi masalah penagihan dadah.

"Insya-Allah, mereka akan dapat melakukan apa yang telah diarahkan dengan sebaiknya dan secara sendirinya masalah penagihan dadah di kawasan kampung luar bandar dapat diatasi secara bersama secara kolektif.

"Kita tekankan secara kolektif kerana mereka lebih mahir lebih maklum tentang masalah yang berlaku di kawasan mereka," katanya lagi.

Tambahnya, terdapat perkembangan dan pergerakan positif yang berlaku dalam usaha tersebut walaupun terdapat banyak proses penambahbaikan perlu dilakukan.

Selain itu, Dr Zambry berkata perjumpaan tersebut turut membincangkan mengenai perihal pengurusan proses pendaftaran pengundi baharu dapat dilaksanakan secara sistematik oleh semua ketua kampung.

"Perkara ini akan mula dikuatkuasakan secara lebih teratur dan sebagai contoh, kita boleh menyaksikan bagaimana setiap ketua kampung yang diwakili daripada setiap daerah menyampaikan borang maklumat tambahan berkaitan dengan pengundi baharu," ujarnya.

Jelasnya, dua perkara tersebut merupakan dua terma tambahan yang dibincangkan bagi meningkatkan kualiti komuniti masyarakat luar bandar antara ketua kampung dan kerajaan negeri dalam perjumpaan tersebut.