KKM akan panggil doktor klinik rawat Zulfarhan Osman

KKM akan panggil doktor klinik rawat Zulfarhan Osman
Zulfarhan Osman, 21, yang merupakan Pegawai Kadet Laut di universiti itu meninggal dunia di Hospital Serdang, pada 1 Jun lepas dengan kesan lebam dan melecur di badan. - Gambar fail
KLANG: Kementerian Kesihatan akan memanggil doktor daripada sebuah kinik swasta yang dilaporkan merawat mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang disahkan meninggal dunia akibat didera, dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pihaknya akan memanggil doktor berkenaan bagi mendapatkan penjelasan berikutan kegagalan doktor itu melaporkan kecederaan yang dialami Zulfarhan Osman kepada pihak polis.

"Kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Biasanya jika pesakit itu mengalami kecederaan berpunca daripada kemalangan atau yang dipercayai mempunyai unsur jenayah, doktor dan pihak hospital perlu melaporkan perkara itu terus kepada polis.

BACA: Lima penuntut UPNM didakwa membunuh pegawai kadet laut Zulfarhan
BACA: Allahyarham Zulfarhan Osman sempat pesan ibu agar jaga diri

Jika tidak dilaporkan itu adalah salah, kerana ia merupakan tanggungjawab dan amalan yang seharusnya dilakukan oleh doktor yang merawat pesakit berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata tindakan memanggil doktor berkenaan dilakukan berdasarkan etika profesional yang diguna pakai Kementerian Kesihatan.

"Tindakan doktor itu yang tidak melaporkan kes jenayah seperti ini boleh dipersoalkan... bagaimanapun kes ini tetap di bawah seliaan dan siasatan pihak polis," katanya.

Zulfarhan Osman, 21, yang merupakan Pegawai Kadet Laut di universiti itu meninggal dunia di Hospital Serdang, pada 1 Jun lepas dengan kesan lebam dan melecur di badan.


Mangsa sebelum itu dipercayai menerima rawatan sebanyak dua kali di klinik swasta berkenaan dan difahamkan doktor yang merawat mangsa tidak mengarahkan mangsa segera dihantar ke hospital walaupun menyedari keadaan mangsa parah.


Sementara itu, Dr Subramaniam, yang juga Presiden MIC, berkata kerajaan akan mewujudkan pendidikan prasekolah di 530 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), seluruh negara, sebagai memenuhi keperluan pendidikan awal anak-anak kaum India di negara ini.


"Prasekolah ini akan diwujudkan secara berperingkat. Untuk permulaan 50 prasekolah akan diadakan di SJKT, pada tahun ini. Bilangan itu akan bertambah dengan 50 lagi prasekolah pada tahun hadapan dan begitu juga (50 prasekolah) untuk tahun seterusnya," katanya.

Beliau berharap inisitaf itu akan menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan awal, sekali gus mengekang masalah keciciran pembelajaran dalam kalangan anak-anak kaum India.

-- BERNAMA