Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya berkata, laporan awal siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak perlu didedahkan kepada umum.

Sebaliknya beliau meminta semua pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menunggu siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Pasukan Petugas Khas selesai sebelum menjatuhkan hukuman terhadap kerajaan.

"Saya rasa peringkat awal ini tidak perlu sebab 1MDB begitu teknikal di peringkat kewangan memadai dengan apa yang disiasat PAC dan Pasukan Petugas Khas yang dibentuk.

"Saya rasa itu adalah satu entiti yang wajar dan setelah mereka buat kesimpulan dan penemuan daripada perkara tersebut baru dimaklumkan untk rakyat faham. Tidak perlu kertas putih, kertas biru ke," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, PERDA di Butterworth pada Isnin.

Menurut Shabudin, hasil siasatan ke atas 1MDB juga akan membantu memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti dan kerajaan.

Shahbudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan Barisan Nasional akan kalah sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Muhyiddin ketika ucapan penggulungan Mesyuarat UMNO Bahagian Cheras pada masa sama meminta laporan awal siasatan 1MDB didedahkan kepada umum bagi menjawab segala persoalan.

Tambahnya, kenyataan yang dibuat Muhyiddin itu hanya satu pandangan peribadi berdasarkan maklumat yang beliau perolehi.

"Pada pendapat saya kedudukan BN dari segi prestasi dan juga peluang untuk memenangi PRU-14 masih cerah dan kita sebenarnya mempunyai kekuatan yang kita masih boleh yakini," ujarnya.