Laporan akhir Jabatan Ketua Audit Negara tentang siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu didedahkan kepada umum.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata laporan berkenaan tidak perlu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 sekali gus dapat menyelesaikan isu syarikat pelaburan strategik itu.

Untuk itu, katanya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu tampil mendedahkan setiap perincian laporan memandangkan jawatankuasa itu telah membaca dan memiliki akses terhadap laporan tersebut.

"Saya fikir kerajaan perlu melihat kepada setiap aspek yang berlaku melibatkan 1MDB.

"Kebenaran perlu didedahkan, tetapi ia takkan berlaku sekiranya laporan Jabatan Ketua Audit Negara diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi, pelbagai perkara yang disiasat dihentikan, jadi kita tidak akan dapat sampai ke dasar masalahnya," tegas Tengku Razaleigh ketika ditemui selepas melancarkan Pameran Warisan Budaya Artifak Melayu dan China, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan bahawa ia diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi bagi memastikan maklumat daripada laporan itu tidak bocor.

Katanya, laporan itu khusus untuk rujukan PAC sebelum laporan mengenai pengurusan syarikat tersebut dibentang di Parlimen.

Walaupun PAC telah mengisytihar tiada sebarang masalah berlaku dalam 1MDB, isu tersebut kembali hangat selepas siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menunjukkan berlakunya penyelewengan dana 1MDB melibatkan pegawai tinggi kerajaan.

Tambah Tengku Razaleigh, tiada sebab untuk menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berehat selagi setiap dakwaan dan tohmahan terhadap beliau tidak dapat dibuktikan.

Apa pun ,tegasnya, sesiapa pun yang didapati bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan.

"Sehingga hari ini saya enggan mengulas isu 1MDB kerana saya sendiri masih keliru, dan saya masih menunggu laporan Jabatan Ketua Audit Negara itu," ujarnya.