Laporan Persempadanan Semula yang tersedia di meja Ahli Parlimen dibenarkan dibawa keluar dari Dewan Rakyat, tetapi kandungannya tidak boleh disiarkan kepada umum.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata demikian selepas merujuk kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Apabila saya merujuk Peraturan Mesyuarat 95A, ia tidak menyebutkan bahawa ia tidak boleh dibawa keluar.

"Jadi, boleh bawa keluar, tetapi tidak dibenarkan untuk disiarkan dalam apa cara sekalipun," tegasnya hari ini merujuk kepada rang undang-undang kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri-negeri Tanah Melayu.

BACA: RUU persempadanan semula kawasan pilihan raya dibentang Rabu depan

Sebelum ini, Ahli Parlimen tidak dibenarkan membawa keluar laporan persempadanan semula itu, yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Rabu depan, dari kamar Dewan Rakyat.

Menurut Pandikar, beliau khuatir laporan yang dikategorikan sebagai 'embargo' itu bakal disiarkan di media.

Beliau memberi jawapan kepada beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang bangun untuk menyatakan bantahan terhadap ketetapan yang melarang mereka membawa keluar laporan tersebut.