Kira-kira 200 umat Islam di Pulau Pinang mengadakan majlis bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat bagi memohon kesejahteraan umat Islam susulan insiden tembakan rambang di dua buah Masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 nyawa.

Majlis anjuran Komuniti India Muslim Pulau Pinang di adakan di Masjid Kapitan Keling di George Town itu turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Menurut Pengerusi Masjid, Datuk Meera Mydin Mustar, majlis turut diadakan bagi memohon kesembuhan mangsa yang tercedera dalam tragedi yang berlaku ketika solat Jumaat itu, selain mendoakan supaya rakyat Malaysia yang masih hilang, Haziq Mohd Tarmizi, 17, ditemui.

"Tujuan kita buat majli Yassin ini adalah untuk mengenang mangsa-mangsa yang kena tembak di New Zealand, serta mendoakan roh mereka yang meninggal dan yang cedera semoga mereka cepat sembuh.

"Dan kita berasa gembira kerajaan New Zealand prihatin bantu masyarakatnya," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, usaha murni yang dibuat kariah Masjid Kapitan Keling ini amat wajar bagi mendoakan kesejahteraan masyarakat khususnya umat Islam.

BACA: "Assalamualaikum..." ucap PM New Zealand buka sidang parlimen

BACA: Serangan Christchurch: Syarikat ternama boikot, tarik iklan daripada Facebook, Google

Katanya, pihaknya turut mendoakan agar semua mangsa khususnya tiga rakyat Malaysia yang cedera segera sembuh.

"Kita mahu majlis malam ini menjadi satu contoh bahawa kita tidak akan menentang keganasan dengan cara lagi ganas tetapi dengan cara yang aman," katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Pulau Pinang juga sudah menghulurkan bantuan sewajarnya dengan membawa ahli keluarga salah seorang mangsa serangan dari negeri itu Rahimi Ahmad ke New Zealand bagi melihat sendiri keadaan anak mereka.

Katanya, dengan bantuan itu secara tidak langsung dapat meringankan beban serta kebimbangan keluarga dari Kampung Binjai, Bayan Lepas, Pulau Pinang itu.

Sehingga kini tiga rakyat Malaysia, Rahimi Ahmad, 39, Mohd Tarmizi Shuib, 46, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, yang tercedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Christchurch manakala anak sulung Mohd Tarmizi iaitu Haziq, masih belum ditemui.