Menteri Pendidikan Maszlee Malik menafikan dakwaan dirinya digugurkan dari Kabinet sebaliknya berkata ia cuma satu khabar angin dan taktik kotor pihak pembangkang.

"Tun (Mahathir) jumpa saya semalam bincang untuk rombak kurikulum bukan rombak Kabinet, jadi takkanlah perkara yang memerlukan komitmen lagi empat tahun dia nak rombak Kabinet," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di SMK Precint 16 Putrajaya sempena peperiksaan SPM yang bermula hari ini.

Tambahnya khabar angin itu sengaja direka bagi mengalih perhatian masyarakat terhadap beberapa kes melibatkan anggota Kabinet kerajaan sebelum ini.

“Saya percaya khabar angin ini ditimbulkan atas taktik kotor pihak pembangkang bagi mengalihkan perhatian daripada siasatan ke atas beberapa bekas menteri," katanya.

Justeru pihaknya turut meminta orang ramai agar menerima sumber berita yang sahih membabitkan isu berkenaan.

Baru-baru ini sebuah portal melaporkan bahawa Maszlee dan juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun bakal digugurkan dari Kabinet ekoran prestasi yang kurang cemerlang.