Ini senario yang tidak boleh dinafikan.

Ini kemungkinan yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun, kalau masalah kecanduan pil kuda di Kelantan tidak diperangi sehabisnya.

Imej negeri serambi Mekah itu tidak mustahil lesap, gara-gara digantikan dengan imej Kelantan sebagai lubuk pil kuda.

Hakikat ini perlu diterima.


Akui masalah itu, dan cari penyelesaian segera, sama ada jangka pendek atau panjang.

"Realitinya, tidak ada satu pun kampung di Kelantan, bebas daripada gejala pil kuda," dedah Presiden Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd Syahbuddin Hashim dalam satu temuramah eksklusif dengan Astro AWANI.

Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd Syahbuddin Hashim sifatkan usaha perangi ketagihan pil kuda di Kelantan umpama suam-suam kuku - Foto Astro AWANI
Tegas Mohd Syahbuddin, masalah ketagihan pil kuda terus jadi barah dalam masyarakat, namun hakikatnya ia masalah yang diketahui umum.

"Kita laung kata dadah musuh nombor satu negara, tapi malangnya kaedah tanganinya tidak nombor satu," luah kebimbangan beliau.

Kedudukan geografi bersempadan dengan Thailand menyebabkan akses kepada bukan sahaja pil kuda, tetapi pelbagai dadah jenis sintetik yang lain terlampau mudah.

Pil kuda boleh diperoleh dengan harga RM10 sebiji - Foto Bernama

Pil kuda diperoleh dengan harga serendah RM2.50 dan dijual di pasaran pada harga RM10 sebiji.

Mohd Syahbuddin juga terang-terangan mendedahkan sebahagian besar pil kuda tidak melalui jalan-jalan tikus, sebaliknya masuk ikut jalan yang sah.

"Kita tidak mahu main bangau oh bangau dalam hal ini, tuding jari sana sini, tuduh pihak penguatkuasaan tidak cukup kuat kuasa undang-undang di sempadan hingga menyebabkan ketirisan ini,

"Semua pihak kena main peranan, di Kelantan ini saya lihat usahanya takat cukup makan, cuba tengok, tiada satu pun papan tanda besar tunjukkan apa rupa pil WY (pil kuda), bahayanya dadah itu," kata Mohd Syahbuddin.

Kerana itu Mohd Syahbuddin tidak menafikan, kalau setakat apa yang ada ketika ini, tidak mustahil dalam tempoh beberapa ketika, akan wujud situasi satu keluarga ada satu penagih pil kuda.

Pengarah Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad ketika ditemui Astro AWANI di Kota Bharu baru-baru ini, tidak mengia atau menidakkan kemungkinan senario ini.

Namun, beliau akui ada beberapa kes terpencil di negeri itu, tiga generasi satu keluarga menagih pil kuda.

Bermula daripada datuk berusia 50-an, anak berusia 30-an dan cucu berusia 11 tahun, tergelumang dalam ketagihan.

Kecanduan pula adakalanya diketahui keluarga, tanpa ada sebarang tindakan dibuat.

Tetapi yang jadi kebimbangan Rohayu adalah peningkatan penagih baru.

Pengarah AADK Kelantan Rohayu Ahmad bimbang dengan peningkatan mendadak penagih baru pil kuda - Foto Astro AWANI

Daripada 7,269 ribu kes Orang Kena Pengawasan (OKP) bagi kes pil kuda sehingga Januari tahun ini, lebih 5,475 ribu adalah kes baru.

"Apa akan jadi pada masa akan datang terhadap ekonomi, sosial di Kelantan, takkan masyarakat nak biarkan dan tengok sahaja ketagihan pil kuda ini," ujar beliau.

Tanpa indikator khusus, Rohayu bagaimanapun memaklumkan kadar penagihan pil kuda di Kelantan adalah yang ketiga, di belakang Pulau Pinang dan Kedah.

Untuk tahun ini, AADK Kelantan tumpukan kepada 13 kawasan panas untuk turun padang bagi melaksanakan kempen dan pada masa sama meminta masyarakat memberi input kepada pemimpin masyarakat.

Tidak mahu tidak, Rohayu tegaskan kempen perlu digerakkan sehabis boleh, kerana ketagihan dadah bukan sahaja pil kuda, kini memberi kaitan langsung dengan masalah psikiatri di Kelantan.

Statistik dikeluarkan Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab menunjukkan pada 2016, lebih 50 peratus (585 orang) daripada pesakit yang dirujuk ke jabatan itu (1170), merupakan pesakit dengan kes berkaitan dadah.

Sementara untuk 2017, 229 pesakit dirujuk ke jabatan itu adalah berpunca daripada ketagihan dadah.