Sejumlah 176 projek pembangunan yang diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dikaji semula kerana bercanggah dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

Menteri Wilayah, Khalid Samad berkata daripada jumlah itu, 102 projek telah diproses manakala baki 74 lagi projek sedang dinilai semula.

Jelasnya, penilaian semula itu perlu dilakukan walaupun DBKL telah mengeluarkan perintah pembangunan (DO).

“Ada antara projek ini yang telah diluluskan, di mana DO dikeluarkan selain caj pembangunan juga telah dibayar oleh pemaju. Namun ia bercanggah dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

“Maka kita perlu lihat dan mengkaji semula. Ia berkaitan dengan nisbah plot (plot ratio), ketinggian bangunan, termasuk kepadatan dan lain lagi bagi memenusi pelan tersebut,” katanya pada sidang media di Menara DBKL di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan Bil. 3/2018 yang turut dihadiri ahli-ahli Parlimen di dalam Wilayah Persekutuan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Tambah beliau, kelulusan baharu itu dibuat menerusi enam mesyuarat jawatankuasa khas yang menilai pelbagai aspek kelestarian pembangunan di tengah bandaraya itu.

Ujarnya, pemaju pembangunan tidak boleh semberono membangunankan bangunan, hanya atas alasan mereka telah memberi tanah itu dengan nilai yang tinggi.

“Kita perlu buat pertimbangan terhadap pihak pemaju juga di mana kalau mereka telah membeli tanah itu dengan nilai yang tinggi, telah diberi DO oleh DBKL, tidak bermakna mereka boleh buat bangunan sampai 70 tingkat,” katanya.

Menerusi proses penilaian semula pembangunan itu, DBKL telah mendapatkan semula tanah seluas dua ekar di kawasan Bukit Nanas yang dilihat tidak lagi sesuai untuk sebarang projek pembangunan.