Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang ke pejabatnya selepas menghantar barang, maut dihempap sebatang pokok sebesar pemeluk yang tumbang akibat angin kencang di Jalan Masjid, Muadzam Shah di sini, petang tadi.

Kejadian pukul 5 petang itu mengakibatkan Noor Mohd Farhan Mohmad Noor, 31, yang bekerja sebagai penghantar barang maut serta merta di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azly Mohd Noor, kejadian berlaku ketika mangsa yang berasal dari FELDA Keratong 1 dalam perjalanan pulang ke pejabat di bandar Muadzam Shah selepas menghantar barang di Bandar Satelit, di sini.

Foto Ihsan Pembaca
"Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa yang membawa motosikal jenis Honda EX5 itu dikatakan tidak sempat mengelak sebatang pokok jenis akasia yang tiba-tiba tumbang dipercayai akibat angin kencang.

"Kejadian berkenaan disedari pengguna jalan raya yang lain sebelum menghubungi bomba yang tiba tidak lama kemudian untuk membantu mengeluarkan mangsa," katanya di sini, hari ini.

Foto Ihsan Pembaca
Beliau berkata, bomba terpaksa mengambil masa lebih 30 minit untuk mengalihkan pokok tumbang berkenaan sebelum dapat mengeluarkan mayat mangsa.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kejadian ini sebagai kes mati mengejut," katanya.