Jabatan Hidupan Liar memasang perangkap untuk menangkap seekor buaya di sungai Kampung Melayu, Batu 8, di sini berikutan seorang kanak-kanak lelaki cedera digigit reptilia berkenaan di kampung itu pada Isnin.

Pegawai Hidupan Liar Sandakan, Hussein Muin berkata turut dipasang adalah papan tanda peringatan kepada penduduk sekitar agar tidak menjalankan aktiviti di sungai itu.

Operasi menangkap buaya yang menggigit kanak-kanak lelaki di sungai itu diteruskan malam ini, katanya kepada Bernama di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, mangsa Arsil Aikmal, 13, cedera digigit buaya ketika mandi di sungai yang terletak berdekatan rumah makciknya.

Mangsa dapat menyelamatkan diri dari gigitan buaya itu selepas ditarik dari sungai dengan bantuan sepupu dan rakannya.

Ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan, mangsa menerima 15 jahitan di dada kanan, empat jahitan di belakang badan dan terdapat lima koyakan paha kanan dan dua koyakan di lutut kanan.

Mangsa tinggal bersama nenek dan pakciknya selepas ibu bapanya meninggal dunia.

Hussein berkata hasil tinjauan pihaknya di kawasan kejadian mendapati buaya pernah memakan seekor anjing di sungai berhampiran kampung itu.

Katanya komuniti di kawasan itu telah mengetahui kehadiran buaya di sungai itu dan kejadian penduduk digigit buaya di kampung itu bukan pertama kali berlaku. -- Bernama