Prosiding Jawatankuasa Kira- Kira Wang Negara (PAC) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bermula Isnin depan dimana saksi pertama yang akan dipanggil adalah bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata seramai 20 saksi akan dipanggil.

“Kita prosiding akan bermula minggu depan dengan saksi pertama Tan Sri Ambrin Buang.

“Sebanyak 20 saksi kita panggil sudah tentu ini proses yang akan memakan masa lama,” katanya kepada media di Parlimen hari ini.


Sementara itu Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata pihaknya mengambil maklum akan permintaan untuk mengadakan prosiding 1MDB secara terbuka.

Bagaimanapun katanya, PAC terikat dengan Perkara 85 dalam Peraturan Mesyuarat yang mereka daripada membuka prosiding itu kepada umum.

“Pihak PAC sudah hantar usul kepada Speaker agar pendengaran awam dilakukan.

“Namun kita tetap terhalang dengan Peraturan di bawah Seksyen 9 Akta Hak dan Keistimewaan Parlimen yang menghalang sebarang laporan jawatankuasa atau mengemukakan bukti dalam jawatankuasa untuk umum.”