BERIKUT adalah rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini.

Tidak mudah godam kad payWave, orang ramai tidak perlu bimbang - Pakar IT

Dakwaan kononnya data dan maklumat peribadi pemegang kad 'paywave' boleh digodam, bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan seperti yang dihebohkan di media sosial.

Perunding Teknologi Maklumat, Mohd Ridzman Azzahari berkata sekalipun tidak menolak kemungkinan itu, namun ia tidaklah semudah seperti yang disangka berdasarkan ciri-ciri keselamatan yang tinggi kad berkenaan.

Laporan media mengenai 'pencopet digital' tidak benar - BNM

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata laporan media mengenai 'penyeluk saku secara digital (pencopet elektronik) ke atas individu yang memiliki kad tanpa sentuhan, adalah tidak benar.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata kad tanpa sentuhan dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang menjadikannya instrumen pembayaran yang terjamin.

Konflik yang kini berlaku di Rakhine bukan lagi masalah dalaman malah menjadi kebimbangan antarabangsa. - Foto Astro AWANI

Mesyuarat luar biasa OIC di Kuala Lumpur hari ini bincang isu Rohingya

Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat luar biasa di sini hari ini bagi membincangkan keadaan masyarakat minoriti Islam Rohingya di Myanmar.

Malaysia yang meminta OIC mengadakan mesyuarat tersebut akan mempengerusikan mesyuarat sehari itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan semua menteri luar dari 57 negara anggota dijangka menghadirinya.

Brexit: Theresa May tanya pendapat di Facebook, netizen terus 'menghentam'

Tindakan Perdana Menteri Britain Theresa May meletakkan status di Facebook bagi mendapatkan pendapat umum tentang 12 tindakan politik yang diambil pentadbirannya untuk Brexit mendapat reaksi bercampur-baur.

Begitupun, ternyata masih ramai yang mempertikaikan langkah Brexit sebelum ini mengambil peluang itu untuk meluahkan pandangan dan melepaskan rasa marah, lapor portal Huffington Post.

Tiada keperluan sahut cabaran Pengarah NOW - Shahrir

Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata tiada keperluan untuknya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan ketirisan dalam syarikat berkaitan kerajaan itu.

Shahrir menegaskan negara ini mempunyai sistem perundangan dan pihak berkaitan "tahu" dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.