Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertegas mengambil alih pengurusan Projek Perumahan Rakyat Subang Lembah Subang 1 daripada kerajaan negeri Selangor.

Menteri Tan Sri Noh Omar berkata pihaknya akan bermesyuarat dengan wakil kerajaan negeri pada Selasa bagi berunding supaya dikembalikan pengurusan PPR Lembah Subang 1 kepada KPKT susulan dakwaan kegagalan pengurusan di pihak kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri, tolong kembalikan pengurusan perumahan Lembah Subang 1 kepada kementerian.

"Petang esok (Selasa) kita minta tolong serahkan dengan secara baik. Saya minta serahkan balik kerana cukup-cukuplah sudah lebih lapan tahun kerajaan negeri memerintah, saya lihat ia tidak ambil berat, tidak ambil peduli," kata Noh kepada pemberita selepas sesi lawatan kerja ke PPR tersebut pada Isnin.

Menurutnya PPR Lembah Subang 1 hanyalah satu daripada sejumlah besar PPR di Selangor yang tidak diuruskan dengan baik.

Jelasnya, penyelenggaraan yang tidak sempurna adalah disebabkan tindakan kerajaan tempatan yang tidak memenuhi tanggungjawab mereka.

"Saya dimaklumkan rumah tersebut milik kerajaan persekutuan, tanah milik kerajaan persekutuan, daripada segi undang-undang ia milik kami. Kami cuma serahkan pengurusan sahaja kepada kerajaan negeri. Pada waktu penyerahan penyelenggaraan itu tiada sebarang perjanjian.

Tambahnya, sumbangan bulanan yang diberikan penduduk untuk penyelenggaraan juga sebenarnya tidak mencukupi.

Dalam pada itu, Noh Omar juga berkata kerajaan pusat sedang dalam proses memperkenalkan mekanisma sewa beli rumah mampu milik bersifat transit kepada golongan belia.

Beliau berkata projek rumah transit yang dianggarkan seluas lebih 400 kaki persegi itu akan dimulakan di Lembah Klang.

Rumah transit tersebut akan ditawarkan kepada penyewa muda yang baru berkahwin dengan kadar pendapatan yang masih lagi dalam perbincangan.