Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya pada 11 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Fadil Zainan, 41 tahun didakwa menyebabkan kematian Noorwaheedah Abdul Wahid, 38 tahun dengan niat membunuh di rumah mereka di Matang kira-kira jam 8.30 malam pada hari berkenaan.

Tertuduh menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah namun tiada pengakuan direkodkan dihadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Mohd Fadil didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Mac untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BACA: Kerana cemburu, suami pukul isteri hingga mati

Media pada 14 Januari lalu melaporkan seorang lelaki dipercayai telah memukul isterinya sehingga mati dalam kejadian di Matang, dekat sini pada pagi Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superitendan Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya mendapat maklumat awal mengenai kes tersebut apabila suami mangsa datang ke Balai Polis Kuala Sepetang untuk mengaku bahawa dia telah memukul isterinya dan mendatangkan kecederaan.

Insiden itu dipercayai berpunca akibat daripada suami wanita tersebut mengesyaki hubungan rapat isterinya dengan seorang lelaki lain.

Pihaknya kemudian telah menangkap suami mangsa ketika membuat laporan awal dengan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.