Personaliti program motivasi dan keagamaan, Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat hari ini mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam UMNO berikutan kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Syamsul, 41, berkata beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Pengerusi Tetap Pemuda UMNO dan Ketua Penerangan UMNO Cawangan Panchor serta Penceramah Biro Penerangan UMNO Malaysia.

"Saya juga tidak akan menawarkan diri atau bertanding apa-apa jawatan dalam UMNO untuk memberi laluan kepada pemimpin lain. Ikhlas buat semua rakan-rakan Pemuda UMNO dan Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban, mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku dalam PRU14 lepas, maka dengan ini saya meletakkan semua jawatan saya dalam UMNO.

"Selamat maju jaya buat sahabat-sahabat sepanjang kita bersama. InsyaAllah saya sentiasa bersedia memberi buah fikiran dan pandangan atas nama persahabatan serta semangat silaturahim," katanya menerusi kenyataan pada laman Facebook 'Syamsul Amri Ismail Official' hari ini.

Beliau berkata kini tumpuannya adalah kepada kerja-kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ceramah motivasi.

Dalam PRU14, Syamsul serta dua calon daripada PAS dan Bebas tewas kepada Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Pakatan Harapan negeri Aminuddin Harun dalam saingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, dengan majoriti 3,413 undi.

-- BERNAMA