Satu lagi mangsa kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di sebuah tapak projek pembinaan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang ditemukan pada jam 1.20 minit tengah hari tadi.

Ia menjadi tiga mangsa runtuhan dijumpai setakat ini.

Dua daripada mayat itu ditemui di bahagian luar runtuhan dan berjaya dikeluarkan manakala pihak penyelamat masih berusaha mengeluarkan satu lagi mayat yang telah ditemukan.

Mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

Siasatan awal mendapati mangsa ditemukan di bahagian hujung kawasan pembinaan dipercayai akibat ditolak runtuhan tanah.

"Dua mayat warga Indonesia ditemui pada pukul 10 pagi,” kata Pengarah Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar.

Identiti kesemua mangsa bagaimanapun belum dipastikan.

Sementara itu, JBPM berkata terdapat kemungkinan berlaku susulan runtuhan terutama semasa kerja-kerja mencari menyelamat dilakukan di tanah cerun berketinggian 35 meter terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi Sabtu, 14 buruh binaan yang sedang bekerja di lereng bukit di situ tertimbus tanah runtuh yang menimpa mereka dari kecerunan kira-kira 35 meter.

Suasana di lokasi kejadian. -JBPM
Setakat pukul 2 petang ini, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus masih dijalankan oleh pasukan penyelamat.

Mangsa terdiri daripada seorang rakyat tempatan manakala yang lain adalah rakyat Indonesia, Rohingya dan Bangladesh, kata Saadon.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat melibatkan tiga zon pada keluasan 15 meter persegi dan pihaknya menjangkakan operasi mencari dan menyelamat akan mengambil masa memandangkan kesemua mangsa dipercayai tertimbus agak dalam dengan tanah liat dan kemungkinan berlaku runtuhan lain.

"Kecerunan kawasan tanah runtuh 35 meter dan keadaan itu agak menyukarkan kerja-kerja menggali tanah...ada setengah tempat dianggap tak selamat," katanya.

Saadon berkata ketika kejadian kesemua mangsa yang tertimbus itu menjalankan kerja di bahagian bawah tanah (basement) bangunan yang sedang dibina itu.

"Yang runtuh adalah bahagian basement...mereka baru buat bahagian basement," katanya.

Sementara itu Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang Datuk Maimunah Mohd Sharif berkata pihak MBPP telah mengeluarkan arahan henti kerja bagi projek itu.

"Kami tunggu laporan daripada jurutera untuk mengetahui punca sebenar kejadian," katanya di lokasi kejadian.

Suasana di lokasi kejadian. -JBPM
Sementara itu, beberapa pekerja binaan rakyat Bangladesh yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah hari ini, berkata kejadian itu berlaku amat pantas, hanya kira-kira seminit sahaja.

"Ketika kejadian saya sedang pasang besi dan masa nak naik ambil besi saya nampak tanah di bahagian atas sana turun (runtuh) dan bunyi bising.

"Satu minit sahaja, pantas...kawan-kawan saya dalam lapan orang kat bawah tak sempat lari. Tak tau hidup ke mati," kata Mohammad Jashim Hussein Ahmad, 27, seorang daripada pekerja di tapak pembinaan itu kepada Bernama.

Orang ramai dilihat berkumpul di sekitar kawasan dengan polis meletakkan garisan keselamatan kira-kira 100 meter dari kawasan runtuhan bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan itu.

Seorang pekerja, Mohd Awal Jafra Alma berkata adiknya, Mohd Abdul Rahman, 18, yang baru bekerja di tapak pembinaan itu, dipercayai masih tertimbus.

"Kawan bagitau dalam pukul 8 lebih...saya tak tau adik hidup ke mati...saya akan tunggu sini nak tengok sendiri keadaan adik," katanya.

Kejadian itu, katanya, belum dimaklumkan kepada ibu bapanya yang kini berada di hospital di Bangladesh.

Seorang lagi pekerja Mohd Bachu, 30, berkata kejadian itu berlaku kira-kira 10 minit selepas dia masuk kerja.

"Masa tu saya diarah ambil besi di bahagian atas dan toleh-toleh nampak tanah dah runtuh begitu pantas...rakan-rakan yang lain tak sempat selamatkan diri," katanya sambil memberitahu seorang saudaranya Nur Alam, 30, dipercayai masih terperangkap.