Kecemerlangan Bagan Datuk menjelang 2050 akan mengutamakan titik sentuhan terus kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan diperincikan kepada beberapa fasa dan seiring aspirasi Program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Jelasnya, sebanyak lapan kluster akan terus diberikan penekanan termasuk perhubungan, pendidikan, kesihatan, keselamatan, sukan, agama, perumahan rakyat dan pelancongan.

BACA: PM Najib lulus RM2.3 bilion bangunkan Bagan Datuk

"Kita mahu anak-anak Bagan Datuk akan tersohor bukan sahaja dalam bidang politik tetapi dalam bidang seni, perniagaan, tokoh korporat dan ahli profesional.

"Kita juga akan mengajukan agar dalam bidang sukan pun agar ahli sukan daripada anak Bagan Datuk untuk berada di Olimpik, ini sudah diusahakan sebuah badan sukan di Bagan Datuk, ini bermakna kita ambil peduli dalam pelbagai aspek," katanya semasa sidang media selepas majlis Aspirasi Transformasi Nasional (TN50) @Bagan Datuk di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Seramai 2,500 warga Bagan Datuk yang berada di Lembah Klang menyertai program yang difahamkan merupakan daerah pertama menganjurkan TN50 peringkat Parlimen di negara ini.

TN50 Bagan Datuk merupakan pentas Ahmad Zahid menyentuh beberapa perkara yang mengingatkan anak jati daerah itu kembali mengenai sumbangan yang telah diberikan oleh kerajaan khususnya dalam aspek pembangunan di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu katanya, Bagan Datuk kini sudah semakin maju sejak ia diisytiharkan menjadi daerah pada 2017.

"Selama ini ia agak terpinggir tetapi apabila dinaikkan menjadi daerah penuh, pembangunan datang mencurah-curah.

"Ia harus direbut anak-anak Bagan Datuk supaya kawasan ini maju sehingga 2050 selain tersohor," ujarnya.

Parlimen Bagan Datuk mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rungkup dan Hutan Melintang.

DUN Rungkup paling hampir dengan pekan Bagan Datuk sementara DUN Hutan Melintang pula bersempadan dengan parlimen Teluk Intan dan Sabak Bernam, Selangor.