Teka-teki selama ini terjawablah sudah. Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sekaligus membuka jalan kepada proses pilihan raya, kecuali bagi DUN Sarawak yang baru dipilih pada April 2011.

Inilah hari-hari yang ditunggu oleh rakyat apabila sekali lagi berpeluang untuk menentukan hala tuju dan masa depan negara bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

Dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran itu, lebih 3 juta rakyat yang mendaftar sebagai pemilih akan ke peti undi untuk menyatakan suara mereka. Di tangan mereka inilah kerajaan yang akan mentadbir persekutuan dan negeri akan ditentukan.

Menjelang hari penentuan itu, yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa beberapa hari lagi, kita akan menyaksikan pesta demokrasi.

Pemimpin parti-parti yang bertanding akan serata negara bertemu rakyat dan berusaha meyakinkan lebih 3 juta pengundi itu untuk diberikan mandat. Calon yang bertanding juga akan ke sana ke mari beramah mesra, bertanya khabar dan memperkenalkan diri. Jurucakap dan aktivis parti yang selama ini naik turun pentas ceramah akan jadi lebih sibuk lagi.

Dalam suasana pesta demokrasi yang meriah itu, harapnya kita tidak terlupa bahawa hari-hari menjelang hari pemilihan itu adalah tempoh ujian kepada kematangan amalan demokrasi di negara ini.

Ujian ini menuntut kita semua untuk berpegang teguh kepada semangat demokrasi dan pada masa sama, menjunjung teguh semangat Rukunegara yang selama ini menjadi paksi tegaknya negara ini.

Inilah masanya kita diuji untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Semua pihak yang terlibat, tidak hanya parti politik yang bertanding, harus menunjukkan sikap yang penuh bertanggungjawab untuk merayakan pesta demokrasi ini.

Janganlah hendaknya ada sebarang perkara yang boleh mencacatkan perpaduan atau mengguris perasaan mana-mana pihak, apatah lagi dalam konteks masyarakat negara ini yang berbilang kaum dan agama.

Marilah kita bersama-sama menyambut pesta demokrasi ini dengan semangat menuju sebuah politik baru sejajar dengan usia negara yang tahun ini akan menyambut ulang tahunnya ke-50 pada 16 September ini.

Marilah kita sama-sama berikrar menjadikan proses pilihan raya ini lancar dan tidak tercemar dengan sebarang insiden yang mencalarkan imej demokrasi itu sendiri. Selepas hampir 50 tahun bersatu dalam persekutuan, kita harus matang dan tertib melaksanakan proses pemilihan ini dengan penuh tanggungjawab dan disiplin.