Sebahagian ahli Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Kuala Kangsar menyatakan hasrat untuk tidak membantu calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manong berkempen untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Bekas ketua penerangan PPBM Kuala Kangsar, Amir Hashim Yot berkata, tindakan terbabit terpaksa diambil susulan rasa tidak puas hati akar umbi terhadap pemilihan Mohd Isa Jaafar dari Parti Amanah Negara sebagai calon DUN Manong.

“Kami ahli-ahli dan bekas ahli jawatankuasa PPBM membantah dan menolak sekeras-kerasnya pencalonan Mohd Isa sebagai calon payung terjun kita untuk DUN Manong.

“Kami sebagai pengundi tegar dan penggerak awal sejak tertubuhnya PPBM rasa amat terhina, terkilan dan tidak puas hati dengan pencalonan beliau kerana kami penduduk-penduduk, khususnya di Manong, tidak mengenali beliau,” katanya pada satu sidang media di sini pada Isnin.

Amir berkata, pemilihan Mohd Isa sebagai calon sekali gus telah memadamkan peluang Pakatan Harapan untuk memenangi kerusi tersebut yang kini disandang wakil Barisan Nasional (BN).

“Beliau adalah Ketua Bahagian Amanah Padang Rengas yang gagal di Padang Rengas, di mana organisasi AJK beliau sendiri tidak tersusun dengan sempurna, malah langsung tidak mempunyai jentera sendiri atau melakukan gerak kerja bersama kami selama ini.

“Di manakah kerjasama Amanah dalam Pakatan Harapan yang dikatakan menghormati sahabat seperjuangan dan semangat setiakawan? Sudahlah kerusi Parlimen diambil, kini DUN Manong juga dirampas,” ujarnya.

Justeru katanya, satu perbincangan akan dilakukan di peringkat akar umbi mengenai isu terbabit termasuk mempertimbangkan tindakan membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam berkempen menentang calon PKR sebagai tanda protes.

“Adalah diingatkan kepada pucuk pimpinan PPBM dan Amanah, sama ada di Bahagian dan Perak, jangan main langgar begitu sahaja, kerana kami adalah pengundi Parlimen Kuala Kangsar, kami ramai waris, sanak saudara dan sahabat handai yang mengundi di sini.

“Kami masih ada jentera 'hardcore' PPBM di Kuala Kangsar ini yang telah bertungkus-lumus mencari pengaruh dan mempertahankan PPBM hingga kini dengan pelbagai onak, duri dan api.

“Diingatkan juga kepada calon-calon Pakatan Harapan di Kuala Kangsar ini, jangan sombong dan angkuh setelah dinobatkan sebagai calon. Jagalah hati rakan-rakan yang selama ini bekerja keras mempertahankan Pakatan Harapan,” katanya.

Pada PRU14, Mohd Isa akan menentang Mohamad Zuraimi Razali dari BN dan calon Pas Jamil Dzulkarnain. Pada PRU lalu, penyandang kerusi itu, Datuk Mohammad Kamil Shafie, telah mengalahkan Jamil dengan majoriti hanya 231 undi.