Parti Amanah Pahang secara rasmi mengumumkan 12 nama calon yang akan bertanding mewakili Pakatan Harapan (Harapan) dengan menggunakan logo PKR pada PRU14.

Pengerusinya, Dr Hamzah Jaafar berkata, daripada 12 kerusi berkenaan, terdapat dua calon wanita yang bakal bertanding.

Menurutnya, calon wanita yang diberi kepercayaan ialah Sabrina Md Yusoff, 52, untuk kerusi Dun Tanjung Lumpur dan Norhaizan Abu Hasan, 58, untuk Dun Pelangai.

“Satu kerusi Parlimen iaitu Parlimen Temerloh mempertaruhkan Setiausaha Agong Amanah, Anuar Tahir, 65, untuk memberi saingan kepada BN dan Pas,” katanya.

Sementara itu, katanya, Timbalan Pengerusi Amanah Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed, 66, diberi kepercayaan untuk mengekalkan kerusi Dun Semantan yang dipegangnya sejak 2008.



Turut dicalonkan, katanya, Naib I Pengerusi Amanah Pahang, Dr Jamaluddin Abd Rahim, 52, dicalonkan di kerusi Dun Pulau Tawar, manakala Naib II Pengerusi Amanah Pahang, Ahmad Sazili Mohd Nor, 57, pula di kerusi Dun Tioman.

“Bagi Dun Beserah pula, calon yang diumumkan ialah Zulkifli Mohamed, 45, yang merupakan Pengarah Komunikasi Amanah Pahang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat Amanah Pahang, di sini, pada Isnin.

Hamzah berkata, Amanah turut mencalonkan Ketua Pemuda Amanah Pahang, Nur Addin Ibrahim, 33, untuk bertanding bagi Dun Lepar, selain Jelani Ludin, 54 (Dun Jengka), Adnan Abdul Manaf, 61 (Dun Kerdau), Ahmad Majdi Fauzi Abd Aziz, 39 (Dun Guai).

Dalam pada itu, Dr Hamzah, 53, turut diumumkan sebagai calon bagi Dun Dong.

“Semua senarai calon ini masing-masing mempunyai kelayakan pendidikan sekurang-kurangnya diploma, mempunyai kerjaya dalam bidang profesional, malah ada antara mereka yang pernah menjadi pendidik dan tenaga pengajar,” katanya.

Senarai nama berkenaan bagaimanapun diumumkan secara rasmi oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena program Tun Dr Mahathir Bersama Warga Temerloh di perkarangan Pejabat Amanah Pahang, malam Isnin.