Ketiga-tiga Ahli Parlimen DAP yang digantung selama 10 hari daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat semalam tidak perlu dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata kenyataan yang dibuat oleh Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping) dan V. Sivakumar (DAP-Batu Gajah) adalah jelas.

"Tidak perlu dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Apabila kita bawa perkara itu ke jawatankuasa, ini bermakna perkara itu seolah-olah samar.

"Ini kerana jawatankuasa itu perlu melakukan penyiasatan. Dalam perkara ini, apa yang mahu disiasat? Sudah diberi surat, minta maaf ke tidak? Tidak," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis makan tengah hari sempena Hari Komanwel 2018 di Parlimen di sini hari ini.

Malah, Pandikar menegaskan tindakan ketiga-tiga Ahli Parlimen dari Perak itu dilihat sengaja dibuat serta bermotifkan politik.

"Bagi saya, mereka sengaja buat sebegitu dan membelakangkan etika sebagai ahli Dewan Rakyat kerana mengutamakan agenda politik.

"Ini kerana apabila masyarakat umum membaca, bagi penyokong-penyokong mereka mereka akan nampak yang ahli Parlimen mereka ini berani, tapi sebaliknya mereka hanya mahu menang pilihan raya sahaja," tambahnya.

Ketiga-tiga mereka digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama 10 hari kerana menghina Speaker Dewan Rakyat serta kemuliaan institusi tersebut.

Pada 7 Mac lalu, Ngeh, Nga dan Sivakumar menuntut Pandikar Amin meletak jawatan kerana menolak usul berhubung isu rampasan kapal mewah milik ahli perniagaan, Jho Low di Indonesia dan soalan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Susulan itu, Pandikar telah menghantar notis kepada mereka untuk meminta maaf kerana menghina Speaker dan Dewan Rakyat.

Namun, mereka enggan berbuat demikian selagi Pandikar tidak memberi jawapan jelas berhubung usul berkaitan 1MDB.