Penghakiman yang dibuat berubung kerusi Parlimen Cameron Highlands sebelum ini jelas menyatakan sebarang bentuk transaksi wang adalah salah untuk apa tujuan sekalipun.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, atas sebab itulah Barisan Nasional (BN) kehilangan kerusi itu dan dipaksa untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadual 26 Januari ini.

Katanya, petisyen yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) ke Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini memberi ruang untuk semua pihak supaya tidak mengulangi kesalahan serupa.

"Ia menjadi pengajaran kepada BN. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya kepada PH.

"Persoalannya, apakah yang ingin ditegakkan apabila pengadu pula mengulangi perkara yang sepatutnya menjadi garisan pemisah antara parti terhadap etika pilihan raya?

"Apakah yang cuba diperbetulkan di sini? Mereka mengheret rakyat di Cameron Highlands hanya untuk menambah angka (kerusi) di Parlimen? Tanpa berkehendak untuk menunjukkan sebarang perbezaan?" soalnya ketika bercakap kepada Astro AWANI pada Rabu.

BACA: PRK Cameron Highlands: Wanita 'duit minyak' beri keterangan pada SPRM

BACA:
'Sukarelawan' ada maksud baru di bawah Malaysia Baharu?

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Naib Presiden MIC Datuk C Sivarraajh tidak layak bertanding dalam PKR Cameron Highlands yang bakal diadakan.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu diputuskan selepas mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu, serta Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36 (2) (a).

Sivarraajh antara lain didapati bersalah memberi suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya berkenaan.

Baru-baru ini, gambar seorang wanita tular di media sosial dan didakwa sesetengah pihak cuba merasuah Orang Asli di Cameron Highlands dengan memberikan wang tunai kepada mereka.

BACA: PRK Cameron Highlands: Wanita 'duit minyak' beri keterangan pada SPRM

Dalam pada itu, Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat menggesa pengundi di Cameron Highlands menggunakan peluang semasa PRK tidak lama lagi untuk menghakimi PH menerusi peti-peti undi.

"Kuasa rakyat yang bebas harus mengatasi kuasa mahkamah yang diputuskan sebelum ini untuk menjadi alat PH menambah kerusi di Parlimen.

"Pengundi Cameron Highlands harus menolak calon PH selari dengan perumpamaan 'paku dulang paku serpih, mengata orang dia buat lebih'," ujarnya.

Tambahnya, BN sudah menerima hukuman mahkamah dengan hati yang terbuka, sekali gus menerima apa yang terjadi sebagai satu pengajaran.

"Sudah tiba masanya calon PH ini menerima penghakiman rakyat dan membuktikan bahawa kuasa rakyat boleh mengatasi keputusan mahkamah.

"Pengundi Cameron Highlands mempunyai ruang untuk membuktikan kenyataan ini," katanya.