Bagi menyelesaikan masalah tanah, Cameron Highlands memerlukan sentuhan daripada kerajaan Pakatan Harapan yang mempunyai misi dan visi yang jelas berbanding kerajaan negeri.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Senator Liew Ching Tong berkata Cameron Highlands memerlukan wawasan baharu supaya ia boleh menjadi pusat pertanian dan pusat pelancongan untuk seluruh negara.

“Terdapat 2,041 tanah lesen pendudukan sementara (TOL) sedia ada dan 1,153 pula adalah permohonan baharu di Cameron Highlands.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri hanya boleh proses tidak sampai 10 permohonan setiap bulan.

“Itu bermakna masalah tanah tidak akan selesai jika tiada kesungguhan politik daripada kerajaan negeri,” kata Liew selepas mengiringi calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, M. Manogaran yang melawat Orang Asli di Kampung Sungai Relong di Pos Mensun pada Ahad.

Tegas Liew, PH perlu memenangi kerusi Parlimen P78 untuk memberi tekanan kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tanah.