ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 16 Februari 2022.

1. Menteri Pertahanan Rusia lawat Syria

Menteri Pertahanan Rusia Sergey Shoigu dan Presiden Syria Bashar al-Assad pada Selasa mengadakan perbincangan mengenai pergerakan tentera Moscow di Mediterranean.

2. Jualan tiket bas, penerbangan VTL Malaysia-Singapura dibuka sepenuhnya

Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura melalui udara dan darat dibuka semula sepenuhnya berkuat kuasa serta-merta.

3. Mahkamah Tinggi Singapura benarkan penangguhan interim hukuman mati warga Malaysia IQ rendah

Pausi dan Roslan, yang juga mempunyai tahap IQ rendah, dijatuhi hukuman mati kerana mengedar dadah pada 2010 dan dijadualkan dihukum gantung hari ini.

4. China sumbang AS$100 juta kepada COVAX

China menandatangani perjanjian dengan Persekutuan Imunisasi dan Vaksin Global (GAVI) untuk menyumbang sebanyak AS$100 juta (RM419 juta) kepada Pelan Peruntukan Vaksin COVID-19 (COVAX).

5. Krisis Ukraine: Biden gesa diplomasi, ancam sekatan terhadap Rusia

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Selasa berkata pihaknya masih meneruskan rundingan diplomatik antara Rusia dan Barat mengenai Ukraine, serta Rusia bakal berdepan sekatan ketat jika memilih menyerang negara jirannya.

6. COVID-19: Singapura lapor 19,420 kes baharu pada Selasa

Singapura melaporkan 19,420 kes baharu jangkitan COVID-19 pada Selasa, dengan 19,179 merupakan kes tempatan manakala 241 kes import.

7. 3,000 kanak-kanak di Turki hidap leukemia setiap tahun

Lebih 3,000 kanak-kanak di Turki disahkan menghidap kanser setiap tahun. Leukemia atau kanser darah didapati menjejaskan kanak-kanak seawal usia setahun, serta turut dikesan pada bayi baharu lahir. 

8. Konflik Afghanistan: Britain jadi tuan rumah persidangan raih dana bantuan

Britain akan menjadi tuan rumah bersama Persidangan Bantuan Antarabangsa dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan untuk membantu mengurangkan krisis kemanusiaan di Afghanistan.

9. Bekas Presiden Honduras ditahan, didakwa terlibat sindiket dadah

Bekas Presiden Honduras, Juan Orlando Hernandez ditahan atas tuduhan terlibat dengan sindiket pengedaran dadah pada Selasa. Anggota polis dikerah ke rumahnya di Tegucigalpa beberapa jam selepas Amerika Syarikat memohon beliau diekstradisi ke negara itu bagi menghalangnya melarikan diri.

10. COVID-19: Belanda mansuh sekatan bermula Jumaat ini

Kerajaan Belanda akan menarik balik sebahagian besar sekatan koronavirus pada Jumaat. Ini susulan tahap jangkitan yang dicetuskan oleh varian Omicron tidak menyebabkan kemasukan ke hospital yang tinggi.