DUNIA
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 30 Mei 2025.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Jumaat memberi amaran berhubung halangan berterusan terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza, apabila bekalan bantuan terbiar dalam jumlah yang besar di Jordan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Singapura pada 31 Mei (esok), bagi menghadiri Dialog Shangri-La ke-22 anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS).
Sekatan yang dikenakan Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak wajar sama sekali, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.
Luis Montenegro dilantik semula sebagai Perdana Menteri Portugal pada Khamis oleh Presiden Marcelo Rebelo de Sousa.
White House pada Khamis mempertahankan tarif global meluas yang dilaksanakan oleh Presiden Donald Trump sebagai "sah di sisi undang-undang" selepas panel tiga hakim sebulat suara memutuskan bahawa beliau telah melampaui kuasanya apabila mengisytiharkan darurat untuk melaksanakan tarif perdagangan global.
Bekas pegawai tinggi Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah di New York pada Khamis selaku berperana penting dalam skandal berbilion dolar membabitkan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kerajaan Jepun pada Jumaat memaklumkan bahawa China telah bersetuju untuk memulakan prosedur bagi menyambung semula import makanan laut dari Jepun, sekali gus menamatkan larangan yang dikenakan susulan pelepasan air sisa radioaktif yang dirawat dari loji kuasa nuklear Fukushima yang musnah ke laut.
Seorang hakim persekutuan di Amerika Syarikat (AS) telah memutuskan untuk melanjutkan perintah sementara yang menghalang pentadbiran Presiden Donald Trump daripada menarik balik kelayakan Universiti Harvard untuk mendaftarkan pelajar antarabangsa.
Tentera Thailand dan Kemboja bersetuju pada Khamis untuk menarik balik anggota tentera dari kawasan yang dipertikaikan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja apabila berlaku pertempuran singkat sehari sebelumnya.
Israel telah menerima cadangan baharu untuk gencatan senjata dengan Hamas yang dikemukakan oleh utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff, menurut seorang pegawai Israel.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami