ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 3 Februari 2021.

1) Moderna: Vaksin COVID-19 kedua diguna di Singapura

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura hari ini memberi kelulusan sementara bagi vaksin COVID-19 keluaran Moderna, sebagai vaksin kedua digunakan di negara itu.

Kebenaran sementara di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) itu bagi memudahkan akses awal kepada vaksin, ubat-ubatan dan alat perubatan kritikal awal semasa pandemik.

2) Thailand kekalkan kadar dasar pada paras terendah 0.5 peratus

Bank of Thailand (BoT) mengekalkan kadar dasarnya pada paras terendah 0.5 peratus untuk menyokong pemulihan ekonomi ketika lonjakan kes jangkitan COVID-19.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BoT sebulat suara memilih untuk mengekalkan penanda aras kadar dasar untuk mesyuarat keenam berturut-turut bagi mengekalkan ruang dasar yang terhad untuk bertindak pada masa sesuai dan paling berkesan.

3) Perintah berkurung di Perth sukar, penduduk terpaksa cari tempat berlindung akibat kebakaran

Sebahagian penduduk di Perth, Australia terpaksa mengetepikan arahan perintah berkurung di negara itu apabila situasi kebakaran hutan yang semakin merebak memaksa mereka untuk mencari kawasan perlindungan.

4) Aung San Suu Kyi didakwa import walkie-talkie secara haram

POLIS Myanmar telah memfailkan pendakwaan terhadap Aung San Suu Kyi, pemimpin yang digulingkan junta tentera Myanmar atas kesalahan mengimport peralatan komunikasi secara haram.

Menurut dokumen polis, Suu Kyi, 71, akan ditahan sehingga 15 Februari untuk tujuan siasatan.

5) COVID-19: Terlalu rindu pelanggan, pemilik restoran Belgium ini 'hidang' pada boneka

Seorang pemilik restoran di Brussels mengadu dia terlalu merindui pelanggannya sejak perniagaannya dipaksa untuk menghentikan operasi sejak Oktober lalu di bawah undang-undang Belgium.

Selain kehilangan punca pendapatan, Therese Mahieu terasa sebahagian daripada dirinya kini 'kosong', lebih-lebih lagi apabila dia tidak dapat berhubung secara langsung dengan semua pelanggannya.

6) 'Perempuan Tanah Jahanam' ke Oscar: Semua genre filem sama berharga - Joko Anwar

“Semua genre filem sama berharganya.” Demikian kata-kata pengarah filem Indonesia, Joko Anwar apabila mengulas mengenai kejayaan filem arahannya, Perempuan Tanah Jahanam yang menjadi filem seram pertama untuk mewakili Indonesia ke Anugerah Oscar tahun ini.

7) Arab Saudi larang kemasukan pelawat dari 20 negara

Arab Saudi pada Selasa melarang kemasukan pelawat dari 20 buah negara buat sementara waktu sebagai cara untuk menghalang peningkatan jangkitan pandemik COVID-19.

8) Pesakit COVID-19 punya daya tahan tubuh untuk enam bulan

Hampir semua individu yang dijangkiti COVID-19 memiliki daya tahan tubuh daripada virus itu untuk sekurang-kurangnya tempoh enam bulan.

Laporan Reuters pada Rabu, para saintis United Kingdom (UK) menyatakan, hasil kajian mendapati sebilangan besar individu dijangkiti COVID-19 dikesan mempunyai daya tahan tubuh sekurangnya enam bulan, kata ketua saintis di Biobank UK, Profesor Naomi Allen.

9) Rihanna 'masuk campur' protes pertanian di India, kobarkan bantahan terhadap Narendra Modi

Bintang pop Amerika Syarikat, Rihanna mencetuskan kekecohan di India pada Selasa apabila menunjukkan sokongan terhadap protes golongan petani yang berlangsung sejak berbulan-bulan lalu.

10) Kapten Sir Tom Moore meninggal dunia akibat COVID-19

Veteran askar British, Kapten Sir Tom Moore disahkan meninggal dunia setelah dimasukkan ke hospital pada Ahad akibat jangkitan COVID-19.

Menerusi laporan BBC pada Rabu, berita duka itu disahkan oleh anak perempuannya Hannah Ingram-Moore yang memberitahu bapanya meninggal dunia pada usia 100 tahun pada Selasa di Hospital Bedford, England.