WASHINGTON: JUMLAH kes harian positif COVID-19 global menunjukkan sedikit penurunan dengan lebih 400,000 kes berbanding hari sebelumnya yang merekodkan lebih 500,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Bagaimanapun ini menjadikan jumlah kumulatif global kini mencecah 128 juta kes.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 30.37 juta kes.

Ini diikuti Brazil dengan 12.57 juta kes dan India dengan 12.09 juta kes.

Sementara negara-negara yang melepasi angka 4 juta kes ialah Perancis, Rusia dan United Kingdom.

Itali, Sepanyol dan Turki pula merekodkan lebih 3 juta kes manakala Jerman, Colombia, Argentina, Poland dan Mexico mencatatkan lebih 2 juta kes.

Iran, Ukraine, Afrika Selatan, Peru dan Indonesia pula antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif setakat ini.

Dalam pada itu, Chile, Kanada, Romania, Belgium dan Iraq pula antara negara yang merekodkan lebih 500,000 kes.

Negara dalam lingkungan 300,000 hingga 500,000 kes termasuk Maghribi, Jepun, Lubnan, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Slovakia, Panama, Malaysia, Bulgaria, Ecuador dan Belarus.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka positif di bawah 300,000 kes.

Sementara itu, lebih 8,000 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan di seluruh dunia.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kematian melepasi 2.8 juta kes.

Berdasarkan data yang sama, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 550,727.

Ini diikuti Brazil dengan 126,912 kes, Mexico, India dan United Kingdom pula merekodkan lebih 100,000 kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Itali, Rusia, Perancis, Jerman dan Sepanyol.

Ini termasuk Colombia, Iran, Argentina, Afrika Selatan dan Poland manakala negara yang mencatatkan di antara 30,000 hingga 50,000 kes kematian ialah Indonesia, Ukraine dan Turki.

Selain itu, Romania, Chile, Belgium dan Hungary pula mencatatkan lebih 200,000 angka korban.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.