Perdana Menteri Britain, Boris Johnson pada Rabu berkata pihaknya mengambil tanggungjawab penuh bagi puluhan ribu kes kematian akibat COVID-19 yang melibatkan penghuni di rumah kebajikan.

Johnson sebelum ini mendakwa beberapa rumah kebajikan tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) semasa menangani krisis COVID-19.

“Perkara terakhir yang saya ingin lakukan ialah menyalahkan kakitangan rumah kebajikan atas apa yang berlaku, atau menyebabkan sesiapa sangka saya menyalahkan mereka.

“Mereka telah bekerja keras sepanjang krisis ini, menjaga orang yang paling berisiko di negara ini dan menjalankan tugas dengan cemerlang.

“Dan seperti yang kita semua tahu, 257 kakitangan kesihatan telah kehilangan nyawa. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang telah berlaku.

“Tetapi satu perkara yang ramai tidak tahu sejak awal wabak ini ialah virus boleh menular tanpa bergejala, dan itu sebabnya panduan dan prosedurnya kian berubah,” jelas Johnson.

Johnson berkata demikian di Parlimen pada Rabu selepas Pemimpin Pembangkang United Kingdom, Keir Starmer, menggesanya memohon maaf atas kejadian itu.



Untuk rekod, hampir 20,000 kematian yang melibatkan penghuni rumah kebajikan di England dan Wales, berpunca daripada wabak COVID-19.

Kebanyakan rumah kebajikan berkata mereka tidak memiliki peralatan pelindung dan panduan yang jelas, terutama pada tahap awal pandemik itu melanda negara itu.

BACA: UK kaji penglibatan Huawei, mahu pastikan keselamatan negara tidak terjejas

BACA: China beri amaran kepada UK berhubung tawaran kewarganegaraan kepada rakyat HK