Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta lebih bersimpati dan menyokong usaha menerangkan isu yang dibuat jentera Kerajaan terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada lebih mempercayai laporan The Edge yang digantung penerbitannya, baru-baru ini.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Lokman Noor Adam berkata, Muhyiddin juga diminta bersabar dengan beberapa laporan agensi berkenaan mengenai 1MDB yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Berkat usaha berterusan jentera-penerangan Kerajaan, kerumitan memperjelaskan isu 1MDB akhirnya dapat dipermudahkan dengan bantuan pemimpin, penulis, pereka grafik, blogger, agensi kerajaan dan pelbagai pihak lain, termasuklah ahli biasa yang membantu menyebarkan apa yang kami sediakan.

"Alhamdulillah, perkembangan berhubung pendedahan Xavier Andre Justo dan Lester Melanyi telah menyingkap satu persatu komplot mengubahsuai dokumen yang dicuri dari Petro Saudi. Sedikit sebanyak, kebenaran yang semakin tersingkap ini memulihkan kembali semangat jentera parti apabila pendedahan demi pendedahan memihak kepada kita.

"Sedarkah Muhyiddin bahawa akhbar The Edge ini baru sahaja mula digantung oleh Kementerian Dalam Negeri. Berita ini sememangnya sudah lama dinantikan oleh penyokong Kerajaan yang dahagakan ketegasan kerajaan terhadap pemfitnah yang cuba mensabotaj ekonomi negara. Pernahkah Muhyiddin terfikir ke mana perginya maruah KDN apabila Muhyiddin sendiri mempertahankan akhbar yang baru digantung oleh mereka?" katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

Lokman mengulas kenyataan Muhyiddin yang mengakui sukar untuk memahami mengenai 1MDB selain tertanya-tanya mengenai sumber mana yang boleh dipercayai sekiranya laporan The Edge tidak boleh dipercayai.

Kementerian Dalam Negeri menggantung permit The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan bermula Isnin (27 Julai) atas tiga sebab.

Pertama, tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat 1MDB yang seterusnya berkait dengan kerajaan serta kepimpinan negara.

Kedua, laporan yang diterbitkan memetik sumber maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, dan yang mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam serta kepentingan negara.

Ketiga, isu berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang telah ditubuhkan.

Dalam pada itu Lokman, Muhyiddin juga tidak membantu dalam menerangkan isu 1MDB dan menambah beban jentera Kerajaaan dalam menjawab pertanyaan rakyat mengenai isu sama.

"Sedarkah Muhyiddin betapa hancurnya hati kami jentera parti jadi begini.

"Kalau menteri lain yang turut membaca bahan 1MDB yang diperolehi melalui mesyuarat Kabinet boleh membantu untuk menjelaskan isu ini, kenapa tidak Muhyiddin lakukan perkara sama?

"Bolehkah Muhyiddin bersabar? Laporan Ketua Audit sudahpun siap, Laporan PAC pun tidak lama lagi siap. Siasatan Petugas Khas SPRM, PDRM dan Bank Negara pun tidak lama lagi akan siap ... tunggulah," katanya.