Sejumlah 455 individu ditahan atas kesalahan memandu dan menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Ini termasuk satu kematian dan beberapa lagi kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pada tahun lepas sahaja seramai 979 orang ditahan atas kesalahan itu.

Ini membuktikan masih tiada kesedaran terhadap tahap bahaya pengambilan alkohol ketika memandu.

Mazlan turut mencadangkan agar hukuman lebih keras dikenakan berbanding denda RM1,000 ke RM2,000 ketika ini yang seolah tidak memberi impak kepada orang ramai.

"Pada tahun ini sahaja, dari Januari hingga Mei, kita telah mencatatkan sebanyak 455 kes mereka yang melakukan kesalahan membawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

"Ada satu kes melibatkan kematian dan beberapa kes melibatkan pelanggaran membabitkan mereka yang mabuk.

"Kita pandang serius tentang perkara ini dan ini satu perkara yang perlu dielakkan," kata Mazlan dalam Ops Mabuk di Jalan Raja Laut, di sini, malam tadi.

Tambahnya, Polis Kuala Lumpur juga akan mempertingkatkan tahap kekerapan operasi bagi memburu pemandu mabuk.

Operasi yang bermula jam 9 malam itu memfokuskan tindakan penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mengutamakan ciri ciri keselamatan ketika pemanduan.

Hasilnya, 138 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala dua pemandu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.