SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. KKM nafi 'lockdown' hari ini

Kementerian Kesihatan menafikan mesej yang tular dalam media sosial hari ini bahawa Malaysia akan dikenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown) hari ini ekoran penularan COVID-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, dalam sebuah hantaran menerusi akaun Facebook rasminya, berkata penyebaran infografik mengenai lockdown hari ini adalah palsu.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara menegaskan bahawa penggunaan perkataan lockdown masih belum sesuai untuk digunakan.

Dalam satu kenyataan balas di akaun Twitter rasmi KKM memaklumkan perkataan tersebut boleh mencetuskan rasa panik dalam kalangan rakyat negara ini.

Sejak petang Ahad, tular satu infografik yang dikongsi netizen melalui Facebook dan Whatsapp dengan tanda pagar #Malaysialockdown pada Isnin 16 Mac 2020, 8 hingga 10 pm.



2. Mesyuarat khas COVID-19 hari ini

Satu mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan penularan COVID-19 di negara ini akan diadakan hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata mesyuarat khas itu turut akan melibatkan Kementerian Pertahanan.

Menurut beliau, pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan langkah seterusnya dalam menangani wabak ini selepas angka positif jangkitan COVID-19 melonjak kepada 428 pada Ahad.



3. The Fed potong kadar faedah kepada hampir sifar

Bank pusat Amerika Syarikat, The Fed, potong kadar faedah sebanyak 1.00 peratus kepada 0-0.25 peratus.

Dalam masa sama, The Fed akan meningkatkan pembelian bon kerajaan sehingga AS$700 bilion untuk meningkatkan kecairan dalam ekonomi ketika berdepan penularan COVID-19.

Bank pusat itu melaporkan penularan COVID-19 akan beri kesan kepada aktiviti ekonomi dalam masa terdekat dan mengancam unjuran ekonomi AS.



4. Kuliah dalam talian

Beberapa institusi pengajian tinggi memilih untuk meneruskan pengajian secara dalam talian susulan penularan COVID-19 yang semakin memburuk.

Antaranya, Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjalankan semua kuliah secara dalam talian mulai hari ini.

Naib Canselornya, Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata semua penuntut akan dimaklumkan mengenai butiran kuliah secara dalam talian itu oleh dekan pusat pengajian masing-masing dalam masa terdekat.

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga melaksanakan Pengajaran dan pembelajaran (PnP) secara dalam talian serta-merta hingga 2 April ini, manakala sesi PnP melalui Kuliah Secara Dalam Talian (F.O.C) akan berlangsung dari 22 Mac sehingga 2 April ini.

Langkah sama turut diambil Taylor’s University dan Taylor’s College yang memilih mengadakan sesi kuliah bermula 23 Mac hingga 19 April.



5. Euro 2020 ditangguh?

Persekutuan Bola Sepak Itali desak kejohanan Euro 2020 ditangguhkan bagi memberi ruang kepada Liga Serie A Itali selesai.

Serie A ditangguhkan sejak minggu lalu gara-gara penularan COVID-19.

Menurut Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, Gabriele Gavina, cadangan itu akan dikemukakan ketika mesyuarat tergempar EUFA Selasa ini.