KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 6,075 kes COVID-19 hari ini, tertinggi sejak pandemik itu bermula tahun lalu.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 dalam negara setakat ini ialah 485,496 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,251 kes .

Ini diikuti Johor dengan 699 kes, Kuala Lumpur (660), Kelantan (441) dan Sarawak (323). 

Dalam pada itu, terdapat pertambahan sebanyak 46 kes kematian baharu menjadikan jumlah kes kematian secara keseluruhannya kini 2,040 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 47,340.

Jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 3,516 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 436,116 kes.

Setakat ini, 559 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 303 orang memerlukan bantuan pernafasan.