KUALA LUMPUR: Sarawak sekali lagi mengatasi Selangor dengan mencatatkan 3,200 kes positif COVID-19 pada Selasa.

Bagaimanapun menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, 99.75 peratus atau 3,192 kes merupakan daripada kategori satu dan dua.

Manakala 0.25 peratus atau lapan kes melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

‘’Sebanyak 2,633 kes atau 82.28 peratus merupakan kategori satu dan 559 kes atau 17.47 peratus  kategori dua.

‘’Tiada kes dilaporkan melibatkan kategori tiga dan empat namun terdapat lapan kes atau 0.25 peratus melibatkan katgeori lima,’’ kata kenyataan itu.


COVID-19 | Sebahagian besar kes di Sarawak tidak serius

Selain itu, lapan daerah merekodkan kes positif tiga angka dengan Kuching mendahului senarai apabila  mencatatkan 805 kes.

Ia diikuti Serian (630), Sibu (271), Bintulu (211), Samarahan (126), Belaga (123), Betong (119) dan Saratok (112).

‘’Tujuh kematian juga dilaporkan hari ini melibatkan pesakit berusia 36 tahun sehingga 81 tahun,’’ tambah kenyataan itu.

BACA: 18,547 kes COVID-19 hari ini, Sarawak rekod 3,200 jangkitan

BACA: Kes tinggi di Sarawak, masyarakat diingatkan tidak panik - Dr Mohamed Sapian

BACA: COVID-19: Kes tinggi di Sarawak tidak libatkan jangkitan serius - Pakar kesihatan


Pada masa sama, 20 lokaliti melibatkan 10 daerah di negeri itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 4 September sehingga 22 September ini.

Antara lokaliti terlibat termasuk di Uma Bakah, Uma Kulit dan Uma Badeng, Sungai Koyan di daerah Belaga, Jake Garden & Joy Park dan Kuaraters Pekerja Everwind di Bintulu.

Manakala enam lokaliti melibatkan daerah Belaga, Lubok Antu dan Sri Aman dilanjutkan pelaksanaan PKPD sehingga 21 September 2021.