KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen telah mengemukakan cadangan antaranya memulakan waktu mesyuarat persidangan Dewan Rakyat pada 2 petang berbanding 10 pagi yang diamalkan sekarang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul berkata cadangan yang telah dikemukakan kepadanya itu untuk mentransformasi perjalanan sidang Parlimen bagi membolehkan Jemaah Menteri menjalankan urusan pentadbiran masing-masing sebelum hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

Cadangan lain yang turut diterima adalah untuk menambah hari persidangan kepada 100 hingga 110 hari, selain melonggarkan etika pemakaian di dalam Dewan Rakyat seperti tidak perlu memakai tali leher, katanya.

Beliau berkata satu jawatankuasa akan dibentuk untuk melihat kepada cadangan-cadangan yang telah dikemukakan.

"Insya-Allah sidang pertama penggal ini (Parlimen ke-15) akan berlaku (diadakan) pada Februari," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Johari yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun pada Isnin lepas.

Usul pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu dibuat sebaik sahaja Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 bersidang pada 10 pagi.

Johari yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan mewakili kerajaan, mendapat undian 147 undi berbanding bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mendapat 74 undi.

-- BERNAMA