JOHOR BAHRU: Banjir di Johor kian memburuk dengan tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Segamat, ia menjadikan setakat jam 4 petang tadi 11 PPS dibuka di tiga daerah termasuk Kluang dan Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, seramai 1,093 mangsa banjir daripada 298 keluarga dilaporkan terjejas.

Katanya jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua jam, yang mana pada jam 2 petang tadi 422 mangsa dilaporkan ditempatkan di lima PPS.

"Segamat mencatat mangsa banjir paling ramai iaitu 975 orang dari 273 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

"PPS yang baru dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Tenang Labis (477 orang), SJK (C) Ai Chun (72 orang) dan Balairaya Kampung Usaha Jaya (55 orang).

"Turut dibuka di Segamat lima PPS lain iaitu Dewan Serbaguna Pekan Air Panas (104 orang), Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah (68), Dewan Kg Sungai Gatom, Labis (59), Dewan Serbaguna Kota Segamat Kecil (123) dan Balairaya Kampung Seberang Batu Badak (17)," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Banjir di Johor | Jumlah mangsa di PPS meningkat kepada lebih 1,000


Jelas Azmi, Kluang turut mencatat penambahan dua PPS baru, menjadikan empat PPS dibuka di daerah itu.

Ia melibatkan  Sekolah Agama Seri Tengah 1 (36) dan Kampung GSA Chamek (4), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana (8) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Ping Ming (27).

"Manakala di Kota Tinggi pula, satu PPS dibuka di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dengan 43 penduduk Kampung Baru Sungai Mas membabitkan enam keluarga dipindahkan ke dewan itu," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia berkenaan Monsun Timur Laut (MTL), Johor antara  negeri yang berada dalam amaran bahaya dan buruk sehingga esok.

Paras tiga sungai di Segamat turut menunjukkan melebihi aras bahaya, iaitu Sungai Gemas (19.04 meter), Sungai Lenik (6.40 meter) dan Sungai Segamat (37.97 meter).

Selain itu, Sungai Kahang di Kluang turut mencatat di atas aras bahaya dengan catatan 14.41 meter.

Manakala dua sungai lagi iaitu Sungai Muar dan Sungai Labis berada di aras amaran.