ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 18 Disember 2020.

1) Tun Rahah meninggal dunia

Balu kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah, dilaporkan baru sahaja meninggal dunia sekitar jam 4.45 petang, Jumaat (18 Disember) di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.

2) "Ibu ratu hatiku" - Najib kongsi gambar kenangan bersama ibu tercinta

“Ibu ratu hatiku.”

Demikian luahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas kehilangan ibu tercinta, Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah yang menghembuskan nafas terakhir pada petang Jumaat.

3) Istiadat Pengebumian Negara untuk Tun Rahah - PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohd Noah, balu bekas perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau turut mengumumkan, Allahyarhamah akan diberi penghormatan dalam Istiadat Pengebumian Negara dan akan jenazahnya disemadikan di Lingkaran Makam Pahlawan.

4) PKPD di beberapa lokasi dilanjutkan

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terbabit ialah Persiaran Paya Terubong, Mukim 13 (Timur Laut) Pulau Pinang; Kuarters dan Penjara Seremban, Negeri Sembilan serta Depot Tahanan Imigresen Langkap di Hilir Perak.

5) COVID-19: 1,683 kes baharu, tiada kes kematian dicatat

Sebanyak 1,683 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 90,816 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, bilangan kes sembuh pula ialah sebanyak 1,214 dengan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 75,244 kes.

6) PRU: Malaysia belum sedia laksana undi pos

Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan sistem pengundian menggunakan pos seperti mana yang diamalkan di negara-negara lain.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, ini kerana, negara masih tidak mempunyai sistem pos yang boleh dipercayai.

7) Sambutan Krismas: Upacara keagamaan dibenar di kawasan PKPP, PKPB

Upacara keagamaan sempena sambutan Krismas hanya dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 24 Disember dan 25 Disember.

8) Masyarakat P. Pinang gembira perkhidmatan feri diteruskan

Rata-rata masyarakat Pulau Pinang gembira dan menyambut baik tindakan Kerajaan Persekutuan semalam, yang memutuskan untuk meneruskan perkhidmatan feri di negeri ini seperti biasa.

Pengguna perkhidmatan feri yang merupakan petugas kesihatan di sektor kerajaan Eng Zei Pei, 32, berkata, berita tersebut nyata memberi kelegaan kepadanya, kerana perkhidmatan feri sejak 126 tahun itu seharusnya dipelihara dan dijadikan sebagai lambang tarikan pelancongan di negeri ini, sampai bila-bila.

9) Program 'Travel Safe Malaysia' bantu mulakan semula pelancongan Malaysia

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menandatangani perjanjian dengan Bureau Veritas bagi melaksanakan label kecemerlangan kebersihan dan keselamatan 'Travel Safe Malaysia' yang direka untuk menyokong aktiviti memulakan semula industri pelancongan dan pengembaraan.

10) Pengurusan kes rasuah Lim Guan Eng disebut semula 19 Feb depan

Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini menetapkan 19 Februari depan untuk pengurusan kes rasuah bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew dan Ahli Perniagaan Phang Li Koon.