PUTRAJAYA: Hanya 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baharu COVID-19 yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, diklasifikasikan sebagai kategori empat dan lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam catatan terbaharu di Twitternya, Dr Noor Hisham berkata, daripada keseluruhan 12,541 kes, hanya 49 kes dalam kategori empat, dan 54 kes dalam kategori lima.

Majoriti kes pula, tambahnya lagi, ialah kategori satu iaitu 6,504 kes (51.9 peratus), kategori dua iaitu 5,848 kes (46.6 peratus), dan kategori tiga sebanyak 86 kes (0.7 peratus).


Untuk rekod, kategori satu bermaksud tiada gejala, kategori dua bermaksud gejala ringan, manakala kategori tiga mempunyai pneumonia atau radang paru-paru.

Kategori keempat pula merupakan kes dengan gejala radang paru-paru yang memerlukan bantuan terapi oksigen, manakala kategori lima merupakan kategori terakhir, kes kritikal dan memerlukan bantuan ventilator.

Berdasarkan laporan lepas, kategori tiga memerlukan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta hospital ‘full’ dan hibrid COVID-19, manakala kategori empat dan lima perlu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Hari ini negara menyaksikan 12,541 lagi kes baharu dicatatkan, dengan Selangor dan Negeri Sembilan terus mendahului, dengan masing-masing merekodkan 5,512 kes dan 1,619 kes.

BACA: COVID-19: 12,541 kes baharu, Selangor catat 5,512 kes

Kuala Lumpur pula mencatatkan sebanyak 1,542 kes, diikuti Johor (609), Melaka (575), Kedah (458), Sarawak (423), Pahang (382) dan Pulau Pinang (376) kes.

Sementara itu, dalam perkongsian awal di Twitternya, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 141,523 ujian saringan telah dijalankan di seluruh negara, membabitkan 65,822 ujian RT-PCR, dan 75,701 RTK-Antigen.

“Selangor menjalankan 52,889 ujian manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 18,369 ujian.

“Masih terdapat kapasiti untuk lebih banyak ujian, dan ianya masih boleh ditambahkan lagi misalnya di makmal2 swasta. Kapasiti ini digunapakai sebaiknya bagi ujian COVID-19 bagi saringan bertumpu (targeted testing),” katanya lagi.