KUALA LUMPUR: Sabah terus melaporkan pertambahan kes positif empat angka dengan 2,583 kes positif COVID-19 pada Khamis.

Pertambahan ini juga merupakan kes positif tertinggi dilaporkan di negeri itu setakat ini.

Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, peningkatan ini merupakan keputusan kes-kes tertunggak yang lewat didaftarkan (backlog).

"Sepertimana yang dimaklumkan semalam, jumlah kes harian akan kekal tinggi untuk beberapa hari sehingga Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengosongkan semua keputusan tertunggak.

"Kes ini merupakan kes positif yang didaftar melebihi lima hari setelah keputusan ujian saringan diketahui.

"Hari ini 289 kes atau 11.2 peratus kes backlog dilaporkan dengan 188 melibatkan daerah Kota Kinabalu, Penampang (58) dan Putatan (40),’’ katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Selain itu tambahnya, saringan kontak rapat kekal penyumbang terbesar angka kes positif di negeri itu dengan 1,503 kes atau 58.2 peratus.

Manakala kes saringan individu bergejala merekodkan 686 kes atau 26.6 peratus, 123 kes atau 4.8 peratus melibatkan kluster sedia ada dan 37 kes melibatkan kes dalam tahanan.

“Hari ini, 1,045 kes merupakan kategori satu, 1,449 kes kategori dua, 22 kes dari kategori tiga, tiga kes kategori empat dan lima kes dalam kategori lima,’’ tambahnya.