KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan (KKM)  mengesan satu kluster baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster sebanyak 484 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu ialah Kluster Jalan Sedco melibatkan tempat kerja di daerah Tawau dan Kalabakan, Sabah.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-92,107) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 20 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala.

"Sehingga 27 Disember 2020, sejumlah 26 individu telah disaring, di mana 14 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 271 kluster ini termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Kerengge, Kluster Alila dan Kluster Gemilang.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 213 kluster.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 45 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

"Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tampoi Jaya (78 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Stadium (63 kes), dan Kluster Beringin (30 kes)," jelasnya.

BACA: COVID-19: 1,196 jangkitan, Selangor rekod 392 kes baharu