KUALA LUMPUR: Ketiadaan kes positif baharu melibatkan kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu menyumbang kepada penurunan kes di Sabah hari ini.

Bagaimanapun menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, terdapat lapan kes baharu melibatkan kluster Penjara Tawau sekali gus menyumbang kepada 474 kes pada Rabu.

‘’Penyumbang utama kes hari ini adalah daripada saringan kontak rapat iaitu 227 kes atau 47.9 peratus diikuti 71 kes atau 14.9 peratus dikesan daripada sarıngan bergejala.

‘’Saringan bersasar di kawasan PKPD mencatatkan 55 kes atau 11.6 peratus dengan 38 kes direkodkan di Beaufort,’’ kata Masidi menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu, 429 kes atau 90.5 peratus daripada jumlah kes dilaporkan hari ini merupakan kes dalam kategori satu (tanpa gejala) dan dua (gejala ringan).

Antara lain, hanya dua kluster baharu dilaporkan di Sabah melibatkan Kluster Sawit Lung di Beluran dengan 11 kes dan Kluster Industri KKIP Selatan Kota Kinabalu dengan enam kes manakala kluster sedia ada menyumbang 65 kes.

BACA: COVID-19: Dua kluster penjara di Sabah terus catat peningkatan kes positif

Sabah sebelum ini mencatatkan peningkatan kes positif melebihi 600 kes sehari untuk empat hari berturut-turut.

Setakat ini, 76,927 kes kumulatif direkodkan di negeri itu.