KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong bakal bertemu dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menerusi satu sesi perdebatan mengenai Dasar Kabotaj Negara, malam ini.

Perbahasan dalam bahasa Melayu itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran 501 Astro AWANI selain turut disiarkan di aplikasi Live TV, YouTube dan Facebook Astro AWANI pada pukul 9.30 malam.

Pertemuan empat mata itu dijangka mengambil masa kira-kira satu jam, dan akan berlangsung di Sri Pentas TV3 di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Perkara itu disahkan oleh Ka Siong ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin. 

"Pasti on, mana tak on, saya akan tiba di Sri Pentas (TV3) malam esok dan saya dimaklumkan ia akan disiarkan secara langsung pukul 9.30 malam (Selasa). 

"Saya teruja apabila dimaklumkan Astro AWANI juga bersama-sama dengan TV3 akan menyiarkan program ini secara langsung," katanya. 

Pada 30 September lalu, Ka Siong mencabar Setiausaha Agung itu untuk berdebat berhubung isu Dasar Kabotaj Negara.

Cabaran itu dibuat secara terbuka susulan Guan Eng tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuatnya berhubung isu itu di Dewan Rakyat.

Susulan itu Ka Siong menegaskan, beliau boleh berdebat selama sejam tentang apa sahaja isu termasuklah isu Dasar Kabotaj Negara.

Cabaran itu kemudiannya disahut Guan Eng yang berkata beliau sanggup berdebat dengannya, namun tidak menjelaskan masa dan tarikh untuk perdebatan itu diadakan.