Sebuah kereta jenis BMW berwarna putih yang digunakan suspek dalam kes pembunuhan kejam di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru pada 17 Disember lalu, berjaya dijumpai.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kereta tersebut ditemui di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Ayer Baloi dekat Pontian, kira-kira 3 petang semalam selepas menerima maklumat dari orang awam.

BACA: 'Pembunuh BMW': Nombor plat kereta palsu, 4 suspek diburu

BACA: Pasukan khas tangani kes bunuh di stesen minyak

Kereta berkenaan yang dipercayai ditinggalkan selepas digunakan dalam kes pembunuhan itu bagaimanapun telah ditanggalkan nombor pendaftaran kenderaannya.

“Malam semalam kita berjaya menjumpai kereta berkenaan di kawasan ladang kelapa sawit di daerah Pontian yang juga merupakan salah satu senjata selain daripada pisau.

BACA: Kes tikam, langgar: Berpunca akibat dadah

“Kita juga telah menjalankan siastaan forensik dan kita telah menjumpai beberapa perkara yang mengaitkan kereta tersebut dengan kejadian.

“Ia menunjukkan keputusan positif bahawa kereta tersebut yang digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Setakat ini, seramai 15 suspek telah ditahan dan polis juga sedang giat mengesan tiga lagi suspek utama bagi menyiasat kes itu.

BACA: Enam termasuk wanita ditahan reman bantu siasat kes tikam, langgar Johor Bahru

BACA: Kes tikam dan gilis: Polis Johor tahan 2 suspek


Tempoh tahanan reman ke atas dua daripada 15 suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian itu turut disambung enam hari lagi sehingga 2 Januari depan.

Pada 17 Disember lalu, seorang lelaki berusia 30-an mati selepas diserang oleh sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kenderaan BMW berwarna putih.

Mangsa yang sempat bergelut kemudian dilanggar, ditikam dan digilis hingga mati.

Ketika kejadian, mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an sedang mengisi angin tayar, sebelum didatangi suspek yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka.