ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu menggunakan pendekatan terbaik dalam memohon kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berbanding 'pergeseran' yang berlaku ketika ini.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara tersebut sewajarnya tidak berlaku walaupun kedua-dua kerajaan berada di dalam aliran parti politik yang berbeza.

Menurut bekas Menteri Besar itu, masih ada kekurangan yang perlu ditambah baik oleh kerajaan terutamanya di Kedah dan perkara tersebut yang perlu diberikan tumpuan oleh kepimpinan Muhammad Sanusi.

"Kita bercakap sebagai orang Kedah ini, dia ada (unsur) lawak jugaklah, jadi tak loklaq (berkelakuan tidak senonoh) sangat, itulah jadi, ada had, ada cara dia. Kita nak minta sesuatu pada orang pun mesti ada caranya.

"Tambah-tambah kita mahu minta pada yang bukan dalam sealiran (politik) dengan kita. Sepatutnya kita carilah jalan untuk kita buat yang terbaik, jadi kalau yang baik ialah kerajaan negeri sama dengan kerajaan Persekutuan, itulah yang terbaik," katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Pertama UMNO Kedah yang diterajuinya di Bangunan Tunku pada petang Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas 'pengeseran' Muhammad Sanusi dengan Kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga beberapa menteri.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, pada mesyuarat pertama tersebut UMNO Kedah mencapai kata sepakat melantik beberapa jawatan penting untuk diisi selain menubuhkan tiga jawatankuasa utama di peringkat negeri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Kita telah menubuhkan jawatankuasa perundingan kerusi, jawatankuasa komunikasi dan media serta jawatankuasa manifesto sebelum mengadakan pertemuan rasmi bersama Pakatan Harapan (PH) Kedah untuk membolehkan kita bergerak dalam pilihan raya.

“Setakat ini, kita tak sampai ke tahap calon lagi, kita berunding dahulu bagi memastikan tiada perebutan kerusi (dengan PH), selepas itu melihat aspek komunikasi dan media serta manifesto apa yang mahu ditawarkan kepada rakyat sebagai tawaran baharu,” ujar Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap.

Beliau turut mengumumkan Datuk Ariffin Man dan Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin masing-masing kekal sebagai Setiausaha dan Ketua Penerangan UMNO Kedah, manakala Datuk Shahanim Mohd Yusof pula dilantik sebagai Bendahari UMNO Kedah. - Sinar Harian