KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan Pakej Bantuan Khas Muar SEJIWA khusus untuk rakyat di kawasannya.

Menerusi inisiatif itu, beliau menggariskan tiga fokus utama SEJIWA meliputi pendidikan, bantuan makanan dan urusan vaksinasi.

"Sehingga kini, kita telah bantu sediakan komputer riba dan tablet kepada lebih 793 pelajar dari keluarga susah di Muar.

"Kali ini, SEJIWA akan membantu menyediakan lagi 300 tablet kepada pelajar Muar," katanya menerusi muat naik di media sosial.


Mengulas berkenaan urusan vaksinasi, Syed Saddiq berkata terdapat tiga bantuan SEJIWA akan diberikan kepada penduduk Muar.

"Tiga puluh Penggerak Vaksin Parlimen Muar akan pergi rumah ke rumah dan pintu ke pintu untuk membantu lebih 1,000 isi keluarga Muar mendaftar vaksin di atas talian.

"SEJIWA juga akan memberi insentif pengangkutan Muar-Johor Bahru untuk mana-mana rakyat Parlimen Muar mendapat suntikan vaksin.

"Memberikan subsidi ujian saringan RTK COVID-19 kepada rakyat Muar," katanya.

Menurutnya, Parlimen Muar sudah membantu lebih 7,000 keluarga susah menerima bantuan Food Bank.

"Kali ini, SEJIWA akan sediakan lagi bekalan Food Bank kepada 1,000 keluarga supaya tidak ada orang yang lapar dan dahaga," katanya.


Inisiatif itu digerakkan menerusi pelbagai usaha pengumpulan dana dilakukan Syed Saddiq serta pasukannya.

Beliau mengambil keputusan menyerahkan gaji bulan Jun untuk inisiatif tersebut selain 100 peratus keuntungan jualan Kurta Syed Saddiq dan merchandise Jalan Tegak.

"Gaji bulan Jun saya untuk Muar. 100% hasil meniaga saya pun untuk Muar," katanya.

Pada masa sama, dana turut dikumpul menerusi sumbangan orang ramai ke pusat khidmat Parlimen beliau.