PETALING JAYA: Polis hari ini meneruskan usaha mengesan petunjuk baharu dengan mengambil bukti dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dari rumah mangsa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh.

Tiga anggota polis dari unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelihatan memasuki kawasan kediaman Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini kira-kira jam 4.15 petang.

Turut kelihatan ibu bapa kanak-kanak autistik itu, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan.

Selepas hampir 45 minit, proses pengambilan sample DNA dan bukti tersebut dipercayai selesai selepas anggota unik forensik dilihat meninggalkan lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan diberikan oleh pihak berkuasa atau ahli keluarga mangsa.

Terdahulu, dua ekor anjing pengesan (K9) dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA digerakkan ke sebuah stor milik salah seorang penduduk yang terletak 50 meter dari kediaman mangsa.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam pada Rabu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di di Blok R Apartmen Idaman.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.