KUALA LUMPUR: Peruntukan khas RM5 juta bagi Hari Wartawan Nasional (HAWANA) menerusi Belanjawan 2024 dilihat sebagai satu penghargaan kerajaan kepada para pengamal media di negara ini.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata beliau berharap peruntukan untuk HAWANA itu bukan hanya untuk sambutan, tetapi untuk perkara lebih signifikan seperti perbincangan tentang hala tuju media, bantuan kepada wartawan veteran yang memerlukan dan lain-lain.

"Saya menyambut baik peruntukan sebanyak RM5 juta untuk tahun hadapan bagi HAWANA .Saya tahu HAWANA bukan baru disambut, tahun ini juga disambut. Tetapi peruntukan khas pada saya menunjukkan penghargaan Kerajaan kepada pengamal media di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Digital di Dewan Rakyat semalam.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Sambutan HAWANA tahun ini dianjurkan oleh KKD dengan pelaksanaannya dikendalikan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Sementara itu, R. Yuneswaran (PH-Segamat) berkata peruntukan kepada Bernama dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) adalah wajar bagi memperkasakan penyampaian dasar kerajaan dalam pelbagai bahasa menerusi saluran berkenaan.

Beliau berkata selain menumpukan usaha mereformasikan mutu penyiaran RTM dan Bernama dalam pelbagai aspek termasuk mutu penerbitan, RTM dan Bernama seharusnya menjadi dua platform penyiaran utama kerajaan Malaysia MADANI yang mempunyai kredibiliti dalam penyampaian berita pelbagai bahasa termasuk Bahasa Tamil.

"Yang penting untuk memastikan apa juga matlamat serta perkembangan terkini mengenai dasar dan tindakan Kerajaan Perpaduan dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat pelbagai kaum.

"Ini termasuk masyarakat luar bandar yang mempunyai batasan untuk melanggan platform penyiaran swasta berbayar seperti Astro, oleh itu kerajaan harus memberi segala tumpuan dan peruntukan kepada RTM dan Bernama untuk kerajaan," katanya

-- BERNAMA